Isnin, 19 Julai 2010

PUISI : KELIHATAN OLEHKU AKAN SEORANG TUA

KELIHATAN OLEHKU AKAN SEORANG TUA (REZEKINYA PADA SAMPAH)

Kelihatan olehku akan seorang tua
Terbongkok menyelongkar timbunan sampah itu
Tangannya cukup pantas mencapai dan memilih
Apa yang boleh apa yang tidak
Tanpa memikirkan orang disekelilingnya
Tanpa menghiraukan orang disekelilingnya
Tanpa memperdulikan kata orang padanya

Kelihatan olehku akan seorang tua
Diherdik oleh orang yang berpangkat lagaknya
Dihina oleh orang yang melihatnya
Dihalau oleh penjaga tempat itu kononnya
Namun dia membalas dengan senyuman
Beredar dan terus menyelusuri tempat itu
Jika ada rezeki untuk di bawa pulang

Kelihatan olehku akan seorang tua
Bersemangat tanpa perlu meminta
Mengharap belas dan simpati
Padanya selagi ada daya
Dia akan setia dengan tugasnya
Mencari sesuap nasi
Buat anak dan isteri yang setia menanti

Kelihatan olehku akan seorang tua
Gigih berusaha walau dimamah usia
Tidak kenal erti putus asa
Demi rezeki yang halal dicarinya
Bukan dengan cara mudah mendapatkannya
Paling utama perut perlu diisi
Tidak perlu mengemis mengharap simpati

Kelihatan olehku akan seorang tua
Menjadi contoh sikap mulia
Walau hidupnya penuh derita
Dia takut pada Penciptanya
Tidak sesekali mencari rezeki mudah
Mencuri meragut menyamun menipu
Menerima rasuah untuk hidup mewah

Kelihatan olehku akan seorang tua
Hidupnya tenang dan gembira
Biar hidup diulit kesukaran sentiasa
Namun tiada apa yang difikirkannya
Tiada beban hutang yang dikendong
Nasibnya lebih baik dari orang lain
Nampak kaya namun jiwanya sengsara

HASIL NUKILAN
TOKBATIN
TAMAN KRUBONG UTAMA,MELAKA
10 JULAI 2010 : 00:57 AM

PUISI : ISTERIKU SAYANG

ISTERIKU SAYANG

Isteriku sayang …
Izinkan aku kali terakhir ini
Menyusun sepuluh jari jemari
Mengungkap makna manusiawi
Menyingkap maksud benar kemaafan hakiki

Isteriku sayang …
Aku sedar biar jasad meninggal pergi
Tak mungkin bisaku tukar harga diri
Jika nyawaku sebagai ganti
Aku terima dengan rela hati

Isteriku sayang …
Selagi badan dikandung usia
Aku tetap menanti penuh setia
Kasihmu tidak akan kupersia
Biar ku tebus semua dosa dan noda

Isteriku Sayang …
Biar kesal menghambat diri
Biar sedih mencengkam nurani
Biar derita melilit sanubari
Jawapan dicari tak bisa kutemui

Isteriku sayang …
Biar berat diasak persoalan
Khianat manusia hanya mainan
Tak sekali ku kesalkan
Mencintaimu satu penghormatan

Isteriku sayang …
Pengalaman kulalui satu perjalanan
Kukutip semua jadi pengajaran
Entah bila sampai kepengakhiran
Mungkin saat rohku menemui Tuhan

Hasil Nukilan,

Suamimu nan fakir
Tmn. Krubong Utama, Melaka
12hb Julai 2010 : 22:59 Hrs

- Harapan yang sedikit membawa seribu sinaran bintang daripada tidak berani
menggantungkan satu harapan pada mentari.
- Perkara lama jadi pengalaman, jangan jadikan ia sebagai beban.
- Ketawa dan menangislah selagi ada air mata.
- Penyesalan adalah permulaan kebaikan hakiki dan sejati.

KURSUS MOTIVATOR TARIKH LAHIR

Alhamdulillah...syukur kepada Allah Yang Maha Besar kerana membenarkan diriku untuk mengecapi setitis pengetahuan daripada Maha Luasnya ilmu-MU Ya Allah. Akhirnya pada 17hb dan 18hb Julai 2010, Sabtu dan Ahad, saya berjaya menghadiri dan menamatkan kursus sebagai seorang "motivator" tarikh lahir. Setelah lama dikekang oleh waktu maka dikesempatan yang ada saya telah memanfaatkannya dengan sebaik mungkin untuk mencari setitik kejayaan.

Terima kasih sahabatku En. Ab Rahim di atas segala tunjukajar, bimbingan, latihan, perkongsian pengetahuan dan ilmu dengan saya. Sesungguhnya hanya Allah jua yang mampu membalasnya. Terima kasih jua kerana membenarkan dan mengizinkan untuk saya mengamalkan ilmu tersebut yang sungguh bernilai bagi saya. Saya berjanji akan terus mendalami lagi ilmu tersebut dan menyebarkannya demi kebaikan kita dan orang lain.

Saya akan mengikut nasihat sahabat untuk mempraktikkan ilmu tersebut dan berusaha untuk membantu orang lain serta dalam masa yang sama kita akan memperolehi rezeki (sumber pendapatan) dari bidang tersebut. Saya berjanji bermula pada hari ini saya akan mula mengorak langkah dan terus melangkah ke arah itu dengan jayanya, Insya-Allah. Doakan agar usaha ini diredhai dan dirahmati oleh Allah hendaknya.

Salam ukhuwah....Jumpa Anda Di Langit Kejayaan!.