Salam kasih sayang ikhlas dariku insan fakir.
Telah terlalu lamaku rasa tidak dapat meluangkan masa untuk mencoretkan kata-kata di dada komputerku ini. Ini adalah kerana tuntutan tugasan, tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas dengan penuh amanah. Sejujurnya memang diriku telah berjanji untuk terus menulis setiap hari namun kekangan masa telah membataskan niat murniku tadi. Rasa bersalah dalam diri terus bersarang dan kadang-kala mencengkam erat dadaku hingga merimaskan akal fikirku. Ku pujuk hati dengan menyatakan, "Ini belum masa diizinkan Allah untuk aku terus menulis dan mencoretkan sesuatu". Sekurang-kurangnya ianya sedikit membantu meredakan gelojak jiwaku yang sering memberontak.
Setiap sesuatu itu pasti ada rahsia disebaliknya dan Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kita hanya merancang namun Tuhan menentukan segalanya. Gerak rasa dan ilham itu adalah datangnya dari Allah Yang Maha Esa, Maha Berilmu dan Maha Memberi Ilmu ke atas setiap makhluk yang dikehendaki oleh-NYA.
Hari ini atas sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim-NYA maka aku berdaya untuk berkongsi sedikit pengetahuan berkaitan "ILMU KEREZEKIAN". Sementelahan lagi ilmu ini pun aku dapatkan secara "PERCUMA" dan dengan Izin-NYA aku dibimbing untuk menyelusuri ilmu-NYA. Aku yakin ramai di luar sana yang telah pun memiliki pengetahuan dan ilmu tersebut namun tidak salah kiranya kita saling mengingati dan mengamalkannya secara istiqamah. Ianya mungkin sama dengan ilmu yang saudara miliki dan ini semua adalah bukti atas ilmu-NYA dan kebesaran-NYA jua. Jika ianya dapat memberi manfaat kepada saudaraku yang lain maka itu sudah cukup memberi rasa kesyukuran kepadaku. Cukuplah Allah dan Rasul-NYA untukku. Ilmu dunia bukan untuk dijual beli kerana ia adalah milik Allah dan hak Allah. Diriku tidak akan kesal berkongsi maklumat ini secara percuma dan memohon ampun dan maaf daripada saudaraku di luar sana yang mungkin "menjual" ilmu kerezekian untuk mencari rezeki yang halal untuk keperluan diri dan keluarga. Diriku tidak berniat untuk "menutup" pintu rezeki saudaraku yang dihormati. Ini adalah kerana pesanan guruku agar tidak menggunakan ilmu ini untuk kepentingan peribadi dan berjual beli. Pesannya lagi agar membantu orang dengan ikhlas, tanpa meminta-minta, Insya-Allah ilmu dan kehidupan kita akan lebih barokah.
Diriku memohon agar jika berlaku kesalahanku dalam berkongsi pengetahuan ini maka tegurlah secara hikmah mudah-mudahan Allah memberi segala kebaikan kepada anda semua. Ianya tidak akan mengurangkan rasa hormatku kepada anda semua. Aku sedar apalah dayaku sebagai manusia biasa yang sering terkhilaf dan berbuat dosa. Oleh itu dengan penuh perasaan merendah diri, aku merayu agar berilah teguran dan nasihat buat diriku yang serba kekurangan dan lemah ini agar dengannya kita semua akan diberkati oleh-NYA.
Ada pun "ILMU KEREZEKIAN" itu adalah seperti yang berikut dan diharap ianya dapat diamalkan dengan sebaiknya. Besarlah harapan saya agar dengannya nanti rezeki kita akan dilebarluaskan oleh Allah hendaknya dan bolehlah kita saling membantu dengan insan lain yang memerlukan akan ihsan daripada saudara semua. Ingatlah atas rezeki yang kita miliki ada rezeki untuk orang lain sama. Amalkan ia dengan ikhlas dan sabar. Jika tidak berjaya itu adalah ujian Allah ke atas kita hamba-NYA samada kita sabar atau tidak atas sedikit cubaan-NYA.
Saya dengan ikhlas hati, Bismillahirrahmanirrahim, wallahi, wabillahi, wataalallahi, lillahitaala mengijazahkan ilmu kerezekian ini khusus untuk saudara-saudaraku semua yang ingin mengamalkannya dengan sebenar-benar amal.
KEMUDAHAN JALAN REZEKI DARI SEMUA ARAH UNTUK ORANG YANG BETUL-BETUL SUSAH DAN AMAT MEMERLUKAN KEWANGAN :
Usaha ini adalah untuk mencari jalan rezeki yang lancar dan melimpahruah berlandaskan cara Islam. Ilmu ini tiada unsur menyekutukan Allah (Syirik). Lakukanlah usaha ini dengan penuh tawaduk dan ikhlas dan niatkan agar kita beroleh rezeki yang berkat dan dengannya dapat membantu menambahkan rezeki kita sekeluarga serta membantu mereka yang memerlukan.
Adapun cara melaksanakannya adalah seperti yang berikut :-
1. Usahakanlah oleh kita akan selama tempoh 40 / 44 hari, agar dapat kita lakukan kebaikan dengan membantu orang lain pada setiap hari walaupun ianya hanya kecil pada tanggapan kita seperti membuang batu atau menampal jalan yang berlubang agar mereka yang melalui jalan tersebut selamat. Membuang duri atau paku dijalanan agar orang ramai selamat dan pelbagai lagi cara yang menjurus kepada kebaikan.
2. Usahakanlah oleh kita akan selama tempoh 40 / 44 hari, agar dapatlah apa kiranya kita memberi sedekah jariah walau hanya sedikit makanan mahupun seteguk air kosong kepada mereka yang kelaparan / kehausan / yang memerlukannya. Sebaiknya jika boleh sedekahlah di masjid seperti makanan, buah-buahan ataupun minuman dan ini rasanya lebih mudah dan tidak diketahui oleh orang lain. Ini dapat mengelakkan kekeliruan / salah faham orang ramai dan menjauhi riak / sombong.
3. Usahakanlah oleh kita akan selama tempoh 40 / 44 hari, agar dapat kita sama sekali tidak menyakiti hati orang lain / tidak berdendam / tidak dikuasai amarah / dengki khianat dan cemburu. Seboleh mungkin hulurkan kemaafan anda kepada kedua orang tua, saudara mara dan orang lain serta lapangkanlah dada dengan memaafkan kesalahan orang lain kepada anda dengan ikhlas.
4. Usahakanlah oleh kita akan selama tempoh 40 / 44 hari, agar dapat tidak meninggalkan sembahyang fardu dan banyakkan sembahyang sunat seperti sunat hajat, sunat taubat, sunat tahajut, sunat duha. Perbanyakkan bacaan ayat suci Al-Quran seperti surah Al-Fatihah, Al-Waqiah, Al-Balad, Al-Insyirah dan lebih afdhal jika dapat khatam seluruhnya. Berzikir dengan Asma Ul-Husna seperti Al-Wadud, Al-Razaq dan lebih afdhal semuanya. Banyakkanlah selawat ke atas Nabi S.A.W (ikut yang anda tahu). Lebih baik jika dapat mengunjungi majlis ilmu dan alim ulama agar beroleh keberkatan. Jangan lupa berdoa kepada Allah agar dilimpahruahkan rezeki kita untuk mengeluarkan kita dari kemiskinan dan dapat membantu mereka yang memerlukan.
5. Usahakanlah oleh kita agar memulakannya pada hari Rabu atau hari Ahad. Ada sesetengahnya yang melakukannya mengikut hari mereka dilahirkan ke dunia ini disertakan dengan puasa sunat dan ini lebih baik bagi kita.
6. Usahakanlah oleh kita sebelum melakukan ilmu ini agar memohon doa restu dan keredhaan daripada ibubapa dan guru-guru mengaji kita. Jika telah meninggal dunia ziarahilah kubur mereka dan sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat roh mereka.
7. Usahakanlah oleh kita akan selama tempoh 40 / 44 hari, dapatlah kiranya kita melakukan sembahyang sunat hajat khusus untuk memohon rezeki-NYA dengan rezeki yang berkat pada jam 12.00 pagi – 3.00 pagi (2/3 malam). Usahakan agar tiada yang mengetahui akan amalan kita itu tadi dan pastikan tempat kita beribadah dan pakaian kita itu bersih dan suci. Lapangkan fikiran dan tenang. Bersih daripada hadas besar dan kecil.
Niat : "Sahaja aku sembahyang sunat hajat khusus kerana Allah Taala".
Rakaat Pertama :
Al-Fatihah dan Al-Ikhlas 11x.
Rakaat Ke Dua :
Al-Fatihah dan Al-Ikhlas 21x
Zikirlah : Al Razaq = 1,000 x dan Al Wadud = 1,000 x
Sesudah itu kita hendaklah berdoa dan doa ini dibaca sebanyak 41 x :
Bismillahirrohmaanirrohiim
Allahumma sholli wasalim wabarik ‘ala sayyidina Muhammad.
Yaa Allahu yaa fattahu yaa rozzaqu yaa mu’thiyyu
Yaa mu’iinu yaa waduudu yaa mujiibu ikfinii yaa kaafii
Yaa huu shifatullaah yaa huu dzatullah yaa huu af’alullah
Yaa huu wujudullah yassirli rezeki
Guruku telah berpesan oleh kerana ini merupakan warisan para wali Allah maka hendaklah kita membaca suratul Fatihah sebelum kita berdoa :
1. Bismillahirrohmaanirrohiim : Ilaa hadroti Rasulillahi Muhammad SAW
2. Waila hadroti Malaikati Jibril, Isrofil-Izroil, Munkar, nakir, roqib , Atid, Malik, Ridwan.
3. Waila hadroti Sulthonil Auliya’ Syeikh Abdul Qadir Al Jailani
4. Khususon asaatiidzi wa-asaatidzihim ilaa shohibil- ijaazah waabii waummi wajami’e ushuli.
5. Khususon Wali Songo
Bacalah : Al-Fatihah = 7x.
Selepas itu baru membaca doa seperti di atas.
Banyak sekali kelebihan jika kita mengamalkan ilmu ini selain untuk keberkatan rezeki, ianya juga untuk kesihatan dan keberkatan hidup dan umur kita. Selepas 40 / 44 hari, hendaklah tetap mengamalkan bacaan doa di atas setiap selepas kita solat fardu dan jika kita sibuk hendaklah dibaca selepas sembahyang maghrib dan subuh.
Semoga ilmu ini dapat memberi manfaat kepada kita semua dan mendapat keberkatan akan rezeki yang kita usahakan. Andainya ada kesalahan dan kesilapan dalam menerangkan pelaksaan ilmu ini maka itu adalah daripada kelemahan dan kebodohan diri saya sendiri. Jika ada kebaikan dan manfaat itu semua adalah dari Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Agung, Maha Mengetahui, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Ikhlas,
Tok Batin
Nota : Ustaz bukan bomoh pun bukan apa lagi dukun atau pawang. Aku juga bukanlah perawat tradisional hanya insan fakir yang tak punya apa-apa. Kita hanya berusaha Allah yang menentukan segala-galanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan