Rabu, 19 Mei 2010

ILMU PERUBATAN - REZEKI

Salam Hormat.

Hari ini adalah hari yang amat memenatkan. Jadual agak padat namun masih sempat mencuri masa untuk terus menulis. Syukur Alhamdulillah kerana Allah masih mengizinkan dengan memberi sedikit ilham untuk saya terus menulis.

Walaupun kita seringkali berusaha untuk menambah rezeki dengan cara melakukan berbagai usaha, ikhtiar, cara, strategi, proses percambahan dan penambahan ilmu namun adakalanya rezeki itu masih tidak mahu datang kepada kita. Hampir pun tidak, sipi-sipi pun tidak, singgah pun tidak dan menjengok pun tidak. Kita sering kali begitu cemburu dengan orang lain. Pandai pun tidak, Cerdik pun tidak, Usaha kuat pun tidak dan Rajin pun tidak namun yang pelik bin ajaibnya dia lebih berjaya, lebih kaya dan lebih senang daripada kita yang bekerja "Setengah Nak Mati" untuk mencari rezeki. Walhal kita tak kalah dari serba-serbinya. Kawan kita pula orang biasa dan dengan usaha yang biasa-biasa namun lebih berjaya daripada kita.

Sebenarnya kadang kala kita tidak perlukan bergulung-gulung sijil atau ijazah dan usaha yang kuat untuk mendapatkan kejayaan dan kekayaan. Kita hanya perlu bijak merebut ruang dan peluang. Ruang masa yang ada digunakan dengan sebaiknya. Kita kadang kala sibuk dengan kerja hingga melalaikanNYA. Penat berusaha hingga kita tidak dapat beribadah kepadaNYA. Pandai hingga kita melupakanNYA. Rajin mencari rezeki namun lupa kepada mereka yang ada bahagian ke atas rezeki yang kita miliki. Cerdik hingga kadang kala kita banyak menyalahgunakannya untuk kepentingan peribadi kita. Ibubapa kadang kala kita terlupa bertanya khabar dan menziarahi mereka. Di sinilah yang membezakan kenapa dan mengapa rezeki kita begitu jauh daripada kita walaupun hakikatnya ia amat dekat dengan kita sebenarnya. Kata kunci adalah "DOA" yang menjadi senjata orang mukmin.

Renungilah Hadis ini :-

"Allah S.W.T berfirman kepada malaikat yang diberikan tugasan atas urusan rezeki anak Adam:
"Hamba manapun yang kamu dapati yang cita-citanya hanya satu (iaitu semata-mata
untuk akhirat), pastikanlah rezekinya di langit dan di bumi. Dan hamba manapun yang
kamu dapati mencari rezekinya dengan jujur kerana berhati-hati mencari keadilan,
berilah dia rezeki yang baik dan mudahkanlah baginya. Dan jika ia telah melampaui
batas kepada selain itu, maka biarkanlah dia sendiri mengusahakan apa yang
dikehendakinya. Kemudian dia tidak akan mencapai lebih dari apa yang telah Aku
tetapkannya untuknya."
Hadis diriwayatkan oleh Abu Na'im dari Abu Hurairah r.a.

Pelajarilah dan Hayatilah apa yang terkandung di dalam ayat Al-Quran :-

1. Surah Al-Ankabut : Ayat 60 & 62
2. Surah Al-Fathir : Ayat 3
3. Surah Al-Mulk : Ayat 15
4. Surah Al-A'Raf : Ayat 10
5. Surah Al-Jumu'ah : Ayat 9 - 10

Dan sebenarnya banyak lagi ayat-ayat yang menerangkan perihal rezeki.

Kebiasaannya orang akan membaca ayat Al-Quran seperti di bawah untuk memurahkan rezeki. Sukalah saya mengingatkan diri saya dan kawan-kawan agar sentiasa mengamalkan ayat-ayat Al-Quran untuk kemudahan jalan rezeki untuk kita dan keluarga. Bacaan ayat Al Quran juga dapat menjadi benteng dalam kehidupan seharian kita dan memberi ketenangan.

1. Surah Al-Waqiah
2. Surah Al-Kahfi

Saya berdoa kepada Allah atas sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNYA agar kita semua akan dilimpah ruahkan rezeki dengan sebanyak-banyaknya. Amin.

Salam Perjuangan. Jumpa Anda Di Langit Kejayaan!.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan