Entah mengapa saya asyik nak bercerita tentang ilmu.
Ilmu sebenarnya mempunyai pelbagai cabang dan disiplin. Tanpa ilmu bagaimana kita ingin "menjelmakan" idea itu menjadi realiti. Idea yang bagus tanpa ilmu yang bagus akan "mati" begitu sahaja. Adanya ilmu walaupun idea itu bodoh dan gila pasti akan "hidup" dan kita boleh menukarkannya menjadi kepuasan dan kebanggaan yang mendalam terhadap diri kita.
Sedari azali lagi kita telah diberi ilmu oleh Allah. Ilmu untuk kita terus hidup dan berjuang di dunia yang sementara ini. Ilmu yang bakal "membimbing" dan "memandu" kita untuk berjaya atau gagal "di sini" dan "di sana".
Ilmu itu telah kita praktikkan ketika kita berjuang untuk tinggal diam di rahim ibunda kita. Selepas itu kita turut sama berjuang dan bergantung harap kepada kekuatan ilmu ibunda kita dan doktor, jururawat atau bidan untuk kita melihat dunia. Selepas itu kita diberi ilmu untuk menangis atau tidak menangis oleh Allah yang menandakan kesyukuran kita lahir di dunia ini dan akan meneruskan kehidupan yang penuh onak duri, ranjau liku, susah senang dan suka duka. Berjaya atau gagalnya kita adalah dengan adanya ilmu, idea dan perjuangan kita. Setelah itu cabang ilmu kita terus meningkat dengan mula belajar mengiring, mengesot, merangkak, berjalan jatuh, berjalan dan berlari. Kita mula belajar berkata-kata dengan bahasa tangisan, bahasa senyuman, bahasa gelak dan tawa, bahasa kata. Semua inilah asas-asas ilmu yang diberi dan dididik sedari kita azali, alam rahim dan alam kanak-kanak. Setelah menginjak usia kita mula belajar ilmu pelajaran yang formal mengenal abjad dan huruf seterusnya perjuangan ilmu itu terus melebar dan meluas sehingga kita berada di garisan yang terakhir. Corak perjuangan dan susur galur ilmu ini telah diletakkan asas yang kukuh oleh Allah kepada kita.
Kadang-kala setelah ilmu rasa banyak di dada kita lupa pada Yang Maha Berilmu dan Maha Memberi Idea. Kadang-kala atau "banyak kala", saya sering terlupa akan hakikat ini. Ilmu yang ada digunakan bukan untuk tujuan yang sebetulnya dan sepatutnya. Jalan yang dipilih itu penuh sia dan dosa. Kesal! Ya, memang kesal itupun setelah kita terima "Habuannya" dan "Balasannya" pada ketika dan saat itu. Bila adanya ilmu dan idea yang baru perjuangan kita telah mula lari dari aturan dan landasan yang kita telah mula rintis ketika kita terima habuan dan balasan tadi. Senang katanya apabila kita ditimpa musibah kita akan ingat padaNYA dan bila senang kita tiba-tiba telah lupa akan apa yang kita telah terima sebelumnya.
Oleh itu, saya sentiasa ingat satu pesanan "Sampaikan ilmu walaupun sepotong ayat".
Mungkin tulisan saya ini bukanlah apa yang dimaksudkan tapi diharap ianya menjadi satu alat untuk melonjakkan diri saya ke arah menuruti pesanan tersebut, Insya-Allah.
Selagi terdaya dan diberikan petunjuk serta hidayahNYA, saya akan cuba untuk terus mencari idea, menambahkan ilmu dan berjuang untuk menyebarkannya. Mungkin bukan dengan cara menerbitkan buku-buku tapi cukuplah sekadar satu coretan oleh insan fakir ini. Diharap dengan ini akan terus berkembanglah ilmu dan idea yang Allah berikan dan terus diperjuangkan dan diperpanjangkan oleh insan yang lain.
Sebenarnya ilmu yang kita kutip hari ini adalah apa yang telah kita letakkan batu asasnya ketika kita kecil dahulu. Jika kita perhati dengan "mata batin" dan ikhlas kita akan menjumpai ilmu itu seluruhnya di alam ini. Tidak perlu kajian ilmiah dan tidak perlu perbahasan panjang. Hanya yang perlu kita renung, kita teliti dan kita muhasabah diri dan kita akan bertemu jawapannya.
Salam Perjuangan. Jumpa kita dilangit kejayaan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan