Isnin, 19 Julai 2010
PUISI : KELIHATAN OLEHKU AKAN SEORANG TUA
Kelihatan olehku akan seorang tua
Terbongkok menyelongkar timbunan sampah itu
Tangannya cukup pantas mencapai dan memilih
Apa yang boleh apa yang tidak
Tanpa memikirkan orang disekelilingnya
Tanpa menghiraukan orang disekelilingnya
Tanpa memperdulikan kata orang padanya
Kelihatan olehku akan seorang tua
Diherdik oleh orang yang berpangkat lagaknya
Dihina oleh orang yang melihatnya
Dihalau oleh penjaga tempat itu kononnya
Namun dia membalas dengan senyuman
Beredar dan terus menyelusuri tempat itu
Jika ada rezeki untuk di bawa pulang
Kelihatan olehku akan seorang tua
Bersemangat tanpa perlu meminta
Mengharap belas dan simpati
Padanya selagi ada daya
Dia akan setia dengan tugasnya
Mencari sesuap nasi
Buat anak dan isteri yang setia menanti
Kelihatan olehku akan seorang tua
Gigih berusaha walau dimamah usia
Tidak kenal erti putus asa
Demi rezeki yang halal dicarinya
Bukan dengan cara mudah mendapatkannya
Paling utama perut perlu diisi
Tidak perlu mengemis mengharap simpati
Kelihatan olehku akan seorang tua
Menjadi contoh sikap mulia
Walau hidupnya penuh derita
Dia takut pada Penciptanya
Tidak sesekali mencari rezeki mudah
Mencuri meragut menyamun menipu
Menerima rasuah untuk hidup mewah
Kelihatan olehku akan seorang tua
Hidupnya tenang dan gembira
Biar hidup diulit kesukaran sentiasa
Namun tiada apa yang difikirkannya
Tiada beban hutang yang dikendong
Nasibnya lebih baik dari orang lain
Nampak kaya namun jiwanya sengsara
HASIL NUKILAN
TOKBATIN
TAMAN KRUBONG UTAMA,MELAKA
10 JULAI 2010 : 00:57 AM
PUISI : ISTERIKU SAYANG
Isteriku sayang …
Izinkan aku kali terakhir ini
Menyusun sepuluh jari jemari
Mengungkap makna manusiawi
Menyingkap maksud benar kemaafan hakiki
Isteriku sayang …
Aku sedar biar jasad meninggal pergi
Tak mungkin bisaku tukar harga diri
Jika nyawaku sebagai ganti
Aku terima dengan rela hati
Isteriku sayang …
Selagi badan dikandung usia
Aku tetap menanti penuh setia
Kasihmu tidak akan kupersia
Biar ku tebus semua dosa dan noda
Isteriku Sayang …
Biar kesal menghambat diri
Biar sedih mencengkam nurani
Biar derita melilit sanubari
Jawapan dicari tak bisa kutemui
Isteriku sayang …
Biar berat diasak persoalan
Khianat manusia hanya mainan
Tak sekali ku kesalkan
Mencintaimu satu penghormatan
Isteriku sayang …
Pengalaman kulalui satu perjalanan
Kukutip semua jadi pengajaran
Entah bila sampai kepengakhiran
Mungkin saat rohku menemui Tuhan
Hasil Nukilan,
Suamimu nan fakir
Tmn. Krubong Utama, Melaka
12hb Julai 2010 : 22:59 Hrs
- Harapan yang sedikit membawa seribu sinaran bintang daripada tidak berani
menggantungkan satu harapan pada mentari.
- Perkara lama jadi pengalaman, jangan jadikan ia sebagai beban.
- Ketawa dan menangislah selagi ada air mata.
- Penyesalan adalah permulaan kebaikan hakiki dan sejati.
KURSUS MOTIVATOR TARIKH LAHIR
Terima kasih sahabatku En. Ab Rahim di atas segala tunjukajar, bimbingan, latihan, perkongsian pengetahuan dan ilmu dengan saya. Sesungguhnya hanya Allah jua yang mampu membalasnya. Terima kasih jua kerana membenarkan dan mengizinkan untuk saya mengamalkan ilmu tersebut yang sungguh bernilai bagi saya. Saya berjanji akan terus mendalami lagi ilmu tersebut dan menyebarkannya demi kebaikan kita dan orang lain.
Saya akan mengikut nasihat sahabat untuk mempraktikkan ilmu tersebut dan berusaha untuk membantu orang lain serta dalam masa yang sama kita akan memperolehi rezeki (sumber pendapatan) dari bidang tersebut. Saya berjanji bermula pada hari ini saya akan mula mengorak langkah dan terus melangkah ke arah itu dengan jayanya, Insya-Allah. Doakan agar usaha ini diredhai dan dirahmati oleh Allah hendaknya.
Salam ukhuwah....Jumpa Anda Di Langit Kejayaan!.
Rabu, 30 Jun 2010
KURSUS TARIKH LAHIR
Pada hujung minggu yang lalu aku telah diminta oleh temanku untuk menghadiri "kursus" tarikh lahir di rumahnya.
Oleh kerana dalam waktu yang sama aku terpaksa pulang ke kampung di Banting, Selangor untuk menjenguk isteri dan anak-anakku yang telah lama tidak ku temui dek kerna kekangan masa maka aku terpaksa menjelaskan dengan lembut untuk "menolak" pelawaannya untuk menghadiri "kursus" tersebut. Sekurang-kurangnya untuk waktu itu bukan pada waktu yang lain di mana aku telah berjanji akan menghadirinya.
Aku sebenarnya amat bertuah jika orang lain terpaksa menghadiri kursus tarikh lahir di hotel atau dewan, aku hanya perlu ke rumahnya atau mungkin boleh di kedai kopi sambil menonton perlawanan piala dunia yang sedang rancak berlangsung sekarang ini ...hehehe.
Ini adalah merupakan satu kursus lengkap untuk menjadi seorang "motivator" khusus dalam bidang tarikh lahir. Memang diakui walaupun teman tapi bayaran tetap kita kena bayar kerana pemberian khidmatnya dan ilmu pengetahuannya kepada kita. Beliau dulu pun semasa nak dapatkan ilmu tersebut terpaksa mengeluarkan banyak biayanya. Aku pun tak kisah akan hal tersebut sementelahan lagi aku juga amat berminat dengan ilmu pengetahuan itu sedari dulu sebenarnya. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, sedaplah tidurnya.
Aku akan pastikan hasrat itu menjadi kenyataan dan aku akan cuba "mencuri" masa untuk berjumpa dengan beliau dan mempelajari ilmu tersebut. Jika ilmu itu bukan untuk orang lain cukuplah untuk diri sendiri dan keluarga sekurang-kurangnya.
Bulan ini aku amat sibuk dengan amanah dan tugasan bermula daripada MARDI, UniKL, MARA, JABATAN PERTANIAN sehinggalah ke Radio Melakafm, Sinarfm dan suratkhabar. Memang penat tetapi inilah tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.
Inilah yang dinamakan juru perunding yang tak bertauliah sibuk ke sana dan sini bekerja sambil belajar sesuatu yang baru dari mereka yang tahu. Untuk senang memang senang dan untuk susah memang susah dan ianya berkaitrapat dengan usaha, minat, kesungguhan dan paling penting kena tebalkan muka dan pekakkan telinga.
Paling utama adalah selagi kita hidup teruslah kita menggali lautan ilmu samada ilmu dunia atau ilmu akhirat, ilmu putih atau ilmu hitam bukan untuk kita menganiaya orang tapi dapat membantu orang lain yang teraniaya. Janganlah kita terlalu rigid sehingga tidak boleh mempelajari ilmu bangsa lain dan agama lain yang paling penting nawaitu kita belajar untuk apa dan tidak terpesong dari akidah kita yang sebenarnya.
Salam kemaafan. Semoga berjumpa anda di langit kejayaan!.
Ikhlas,
TokBatin
SAJAK : APA NANTI JAWABKU?
Jika hari ini
Aku dijemput olehNYa
Adakah aku telah bersedia
Jika malaikat bertanya
Marabbuka…
Siapa Tuhanmu
Marabbuka…
Siapa Nabimu
Marabbuka…
Apa kitabmu
Marabbuka…
Siapa saudaramu
Marabbuka…
Apa agamamu
Marabbuka…
Mana kiblatmu
Apa nanti jawabku…
Bagaimana nanti jawabku
Jika lidahku tidak pernah
Jika hatiku tidak pernah
Jika fikiranku tidak pernah
Basah menyebut namaMU
Sujud menghadapMU
Dek hasutan duniawi
Ya Allah Ya Rabbi…
Apa nanti jawabku…
Bagaimana nanti jawabku
Jika lidahku tidak pernah
Jika hatiku tidak penah
Jika fikiranku tidak pernah
Mengucapkan salam buatmu
Melaksanakan setiap ajaranmu
Dek keseronokan duniawi
Ya Rasulullah …
Apa nanti jawabku…
Bagaimana nanti jawabku
Jika lidahku tidak pernah
Jika hatiku tidak penah
Jika fikiranku tidak pernah
Mengalunkan untaian kalamMU
Mempelajari setiap bait kalamMU
Dek kesengan duniawi
Ya Al-Quran Kalammullah…
Apa nanti jawabku…
Bagaimana nanti jawabku
Jika lidahku tidak pernah
Jika hatiku tidak penah
Jika fikiranku tidak pernah
Mengasihi setiap manusia
Mengasihani setiap manusia
Dek kesombongan duniawi
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Apa nanti jawabku…
Bagaimana nanti jawabku
Jika lidahku pernah
Jika hatiku penah
Jika fikiranku pernah
Menjual agamaMU untuk dunia
Meremehkan ajaran agamaMU
Dek mengejar harta duniawi
Ya Allah Ya Razaq Ya Wadud …
Apa nanti jawabku…
Bagaimana nanti jawabku
Jika lidahku tidak pernah
Jika hatiku tidak penah
Jika fikiranku tidak pernah
Menghadapkan mukaku kearahmu
Meluruskan diriku kearahmu
Dek tipu daya duniawi
Ya Kiblatku Kaabah Baitullahilharam …
Ingatlah…
Selagi nyawa masih terpelihara
Basahkan lidahmu dengan mengagungkanNYA
Mengucapkan salawat buat Junjungan Tercinta
Alunkan untaian kalamullah setiap masa
Kasihilah dan kasihanilah saudara kita
Usah menjual agamamu dan remehkannya
Hadapkan dengan lurus tubuhmu kearahNYA
Hidupmu pasti bahagia di akhirat sana
Nukilan Rasa,
TokBatin
BATU BERENDAM, MELAKA
29 JUN 2010 JAM 15:41 HRS
SAJAK : BUAT PALESTINE
Palestin jika kelmarin
Bumimu dibasahi darah para syuhada
Pejuang agama dan negara
Harumannya pasti semerbak mewangi
Memagari seluruh anak bangsamu
Memayungi ibu pertiwi tercinta
Palestin jika hari ini
Ramai anak bangsamu
Gugur di medan jihad
Jangan kau tangisi mereka
Kerna pasti kini mereka
Aman dan bahagia di alam sana
Palestin jika hari esok
Tanahmu masih dihujani peluru
Jangan gentar jangan ragu
Bangkitlah gagah melawan seteru
Menentang kezaliman Zionis Yahudi
Demi Allah Yang Satu
Palestin yakinlah pada harinya
Sampai saat sebenarnya
Perjuanganmu telah berjaya
Melenyapkan kejahatan zionis selamanya
Dari bumimu yang derita sengsara
Dalam perjuangan yang panjang warganya
Hasil Nukilan,
TokBatin,
Taman Krubong Utama, Melaka
19 Jun 2010
23:30 Hrs
BIDALAN MELAYU
Sifat pemarah jangan dibela kelak badan akan binasa.
Akal pendek jika diturut, maruah diri akan dilurut
Panjang tangan jangan diamal kelak masa depan mudah diramal
Nafsu syahwat jangan ditatang kelak musibah datang mengundang
Amal bakti perlu dijaga kelak hidup akan terpelihara
Harta akhirat perlu digali kelak selamat diakhirat nan hakiki
Sikap budiman mesti dipegang kelak kita akan disayang
Senyuman harus diukir dibibir barulah ramai datang menghampir
Bila kita berat tulang nanti orang tidak memandang
Bila kita berat tulang kelak rezeki tidak mendatang
Sesama bangsa usah curiga barulah Negara aman sejahtera
Sesama tetangga saling muafakat kelak hidup kita selamat dan berkat
Dendam amarah bermaharajalela kelak akal dan iman habis binasa
Al-Quran dan Hadis jadi amalan kelak syurga tempat kediaman
Sifat dermawan menjadi kawan pasti orang akan tertawan
Jika kerja jujur dan ikhlas nescaya Allah akan membalas
Amanah itu amatlah berat jika dijaga orang pasti memandang hormat
Jika kerja malas dan culas kesusahan pasti datang merampas
Andai kita rajin berusaha kekayaan pasti datang bersama
Jika iman tersemat kukuh di dada pasti rahmat Allah sentiasa ada
Bidalan Untuk Suami dan Isteri :
Jika isteri suka melaram kelak rumahtangga tidak tenteram
Andai isteri suka berleter nanti suami tidakkan hampir
Maruah suami jika dipelihara pasti hidupmu aman sentosa
Peribadi isteri cantik dihias pasti suami tidakkan culas
Kasih isteri jika ditatang pasti nanti anda disayang
Tanggungjawab kukuh dipelihara pasti rumahtangga kekal bahagia
Sifat curiga usah dimula kelak rumahtangga rosak binasa
Jika suami malas membantu kelak isterimu pergi berlalu
Andai suami ringan tulang, isteri pasti bertambah sayang
Suami itu tonggak keluarga jika roboh hancurlah segalanya
Rumahtangga jika muafakat kebahagiaan pasti datang mendekat
Rumahtangga bersendi iman pasti Allah memberi bimbingan
Keluarga syakinah perlu dicari barulah rumahtangga indah berseri
Jika masalah dikongsi bersama rumahtangga sentiasa terjaga
Dendam dan benci jangan disimpan kelak rumahtangga jadi taruhan
Jika taat pada suami pasti Allah akan mengasihi
Kata suami jangan dilawan pasti dirinya akan tertawan
Jika suami pandai mentadbir pasti isteri tidak berleter
Jika pandai mengambil hati pasti keluarga kekal abadi
Hasil Nukilan,
TokBatin
Melaka : 30hb Jun 2010 : 16:27 Hrs
PANTUN KASIH SAYANG
Awan berlari di langit kelam
Mengejar mentari di hujung senja
Rembulan sepi di dada malam
Mendamba kasih tak kunjung tiba
Hati hati ikan di jala
Takut terkena sengat sembilang
Hati pedih jiwa merana
Kekasih hati sudah tak sayang
Ombak mengejar dihujung pasir
Buih pecah menimpa batu
Senyuman indah terukir dibibir
Jiwa merana siapa yang tahu
Bunga mawar harum mewangi
Sayang dahan banyak durinya
Hati hati menabur budi
Takut tercarik hati terluka
Terbang burung bebas di awan
Menangkap ikan ditengah bendang
Hati siapa tidak tertawan
Kekasih hati cantik dipandang
Kolek sampan mudik ke hulu
Bawa bekalan untuk tetamu
Anak dara di muka pintu
Tunggu teruna datang bertamu
Angin bertiup lembut menyapa
Pohon lemah gemalai menari
Dunia ini gelap kurasa
Bila kekasih meninggal pergi
Bawa dagangan ke Inderagiri
Dagangan di bawa ke Pekan Sehari
Bila kepercayaan telah mati
Hidup tidak berguna lagi
Kalau pergi ke Tanjung Bungah
Pergilah melawat ke Bukit Bendera
Buangkan sifat dendam amarah
Pastikan dirimu kekal bahagia
Nukilan Rasa,
TokBatin
Taman Krubong Utama, Melaka
19 Jun 2010
19:00 Hrs
SAJAK : INGATLAH ANAKKU SAYANG
Ingatlah anakku sayang
Jika hari ini kita belajar
Lengkap buku dan pensil
Tekan sahaja di hujung jarimu
Segala maklumat terpapar di skrin komputer
Hasil kecanggihan teknologi maklumat
Akan tetapi…
Ingatlah anakku sayang
Ada kawan-kawan kita di luar sana
Hanya guna jari dan kayu
Untuk mereka menulis
Hamparan tanah menjadi buku mereka
Namun mereka tetap tekun mengejar ilmu
Ingatlah anakku sayang
Di sini kita mewah dengan makanan lazat
Terkadang merungut hidangan tidak sedap
Terkadang membuang segala makanan
Terkadang terbiasa memilih makanan
Terkadang tidak menghabiskan makanan
Akan tetapi…
Ingatlah anakku sayang
Ada kawan-kawan kita di luar sana
Tidak pernah mengecap nikmat makanan
Perlu panjang berbaris tunggu makanan
Mereka tidak pernah sekali merungut
Malahan sanggup mengutip sisa makanan
Ingatlah anakku sayang
Ada kawan-kawan kita di luar sana
Di kala sihatnya tubuh badan kita
Tegap tampan dan menawan
Cukup segala keperluan
Tidur beralaskan tilam empuk sejengkal
Akan tetapi…
Ingatlah anakku sayang
Ada kawan-kawan kita di luar sana
Tubuh mereka dibaluti kulit dan tulang
Permainan mereka hanya kejar-kejaran
Tilam mereka adalah hamparan tanah terbentang
Namun sedikit pun mereka tak keluh kesah
Ingatlah anakku sayang
Ketika kita pandai memilih
Jenama kasut dan pakaian
Tempat permainan dan percutian
Kereta dan motor sebagai kenderaan
Menonton wayang dan hiburan
Akan tetapi…
Ingatlah anakku sayang
Ada kawan-kawan kita di luar sana
Botol bertali itulah kasut pilihan
Kain guni baju istimewa pilihan
Selimut mereka hanyalah daunan
Namun mereka tak kisah hal demikian
Ingatlah anakku sayang
Dalam kawan-kawan kita
Hidup serba susah dan kurang
Namun mereka tetap tabah
Sedikit pun tak pernah marah
Syukurlah kita hidup di bumi Malaysia
Hasil Nukilan,
TokBatin
Taman Krubong Utama, Melaka
19 Jun 2010
20:15 Hrs
SAJAK : BUANGLAH MARAH DAN DENDAM
Bulan menangis hiba di dada malam
Melihat mentari diam membisu
Ombak luka menerjah tebing hati
Meninggalkan buih-buih hiba
Menghakis pesisir pantai kasih sayang
Bayu menghembus nafas amarah
Pepohon kemaafan rebah ke bumi
Tunjang akar kemanusiaan terbakar mati
Lembah nurani dibanjiri amarah membarah
Menanah membusuk di akal fikiran
Bunga kasih layu tidak berkembang
Taman hati berserakan daunan kepiluan
Telah kering tasik air mata penyesalan
Telah kering gersang tanah kebahagiaan
Tinggal sisa tunggul kasih tertancap kejab
Langit taubat saujana mata terbentang
Pintu waktu tidak terhadang
Rahmat Allah pasti mengundang
Selagi ajal belum menjelang
Buanglah duri dendam pasti sakitkan hilang
Nukilan Rasa,
TokBatin
Taman Krubong Utama, Melaka
19 Jun 2010
21:00 Hrs
SAJAK : AKU MELIHAT MEREKA
Aku melihat mereka
Khusyuk tunduk sujud kepadaNYA
Menyerahkan seluruh jiwa dan dirinya
Menuntun hati menuju jalanNYA
Mencari redha dan kasihNYA
Aku melihat mereka
Menyatu dengan dirinya
Merendahkan diri kepadaNYA
Alunan Zikir dan kalamullah memujiNYA
Tenggelam dalam kerinduan TuhanNYA
Aku melihat mereka
Amat kenal nikmat balasan syurgaNYA
Amat kenal dasyat balasan nerakaNYA
Amat senang dengan kemiskinan dan ujian
Amat takut dengan kekayaan dan pujian
Aku melihat mereka
Amat kenal erti kerdil dihadapanNYA
Amat kenal erti hina dihadapanNYA
Amat takut dengan MurkaNYA
Amat takut dengan maksiat dan dosanya
Aku melihat mereka
Amat bahagia hidupnya
Aman tenteram jiwanya
Amal bakti tidak sekali dilupa
Bantuan dihulur balasan tidak diminta
Aku melihat mereka
Cukup hanya Allah membalasnya
Cukup hanya Allah memandangnya
Cukup hanya Allah menemaninya
Cukup hanya Allah membantunya
Sedangkan aku
Masih di sini
Asyik memandang
Dan terus memandang
Tanpa berbuat apa-apa…
Nukilan Rasa,
TokBatin
Melaka , 30hb Jun 2010 : 16:00 hrs
ILMU KEREZEKIAN
Segala Puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Salawat dan Salam buat Junjungan Rasul Tercinta Nabi Muhammad S.A.W.
Salam kasih sayangku buat semua…
Lantaran hambatan waktu yang pantas berlari maka saya terpaksa "Mencuri" waktu untuk terus mencatatkan sesuatu. Sesungguhnya perjalanan hidup itu tidak selalunya indah dan mudah. Di dunia ini semua mempunyai pasangannya : suka duka, gembira sedih, sihat sakit, kaya miskin, senang susah, lelaki wanita dan berbagai ragam pasangan yang Allah telah tentukan.
Terkadang dek kerna himpitan hidup yang mendesak ada di antara kita yang sanggup melakukan perkara yang di luar batasan seperti merompak, meragut, mencuri dan menyamun. Ada sesetengahnya yang bersekongkol dengan syaitan untuk mendapatkan ilmu kekayaan yang sementara cuma dan pastinya menuntut imbalan yang bukan sedikit balasannya. Saya tidak berani mengatakan mereka bersalah atau benar walaupun perbuatan itu memang salah tapi saya sering berbaik sangka mungkin mereka amat memerlukan kewangan untuk apa-apa sahaja maksudnya sehingga amat nekad untuk berbuat sebegitu. Memang kita sedar perbuatan tidak menghalalkan cara dan yang halal tetap halal dan haram tetap haram. Kadang kala ada segelintir manusia yang ingin mendapatkan kesenangan secara mudah. Kita tidak pernah puas dan merasa cukup dengan apa yang ada yang telah ditentukan oleh-NYA. Kita tidak sabar dalam menempuhi dugaan dan ujian-NYA di mana sebenarnya Allah sayangkan kita dengan mendatangkan pelbagai cubaan hidup untuk kita lebih dekat dan meminta kepada-NYA.
Jika kita perhatikan di dalam kalamullah, ayatul quran banyak sekali tersimpan dan terkandung rahsia Allah untuk kita mendapatkan rezeki dari-NYA. Pastinya ini bukan "Instant", "Magic" dan hanya dengan duduk ditikar sejadah dengan mengharapkan rezeki turun dari langit dengan sendirinya. Usaha zahir dan batin juga amat diperlukan untuk kita mendapatkan kekayaan. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W sendiri pun bekerja untuk mendapatkan rezeki!.
Ada pun di antara ayatul quran yang dapat membantu memudahkan usaha kita mencari rezeki adalah seperti yang berikut :-
Surah Al-Fatihah : Dibaca 21x atau 40 x setelah selesai solat fardhu. Jadikan ianya amalan harian.
Surah Yusuf : Ditulis dengan tinta zaqfaran dan dicampurkan dengan air zam-zam lalu diminum. Selepas itu mohonlah kepada Allah agar memudahkan dan melimpahruahkan rezeki kita.
Surah Al-Kahfi : Ditulis selepas mengerjakan sembahyang Jumaat lalu dimasukkan ke dalam bekas / botol lalu ditanam di rumah. Sebelum ditulis ayat al quran tersebut eloklah kita masih ada wuduk, sedekahkan al fatihah untuk Rasulullah S.A.W., sahabat baginda, kaum keluarga baginda, para nabi-nabi Allah, Malaikat yang 4, Muqarrabin, Syeikh Abdul Kadir Al Jailani, para wali dan alim ulama, ibubapa kita dan semua muslimin & muslimat dan untuk diri kita. Baru ditulis dengan khusyuk dan tenang.
Surah Yaa-sin : Dibaca setiap malam Jumaat sebanyak 41 x dan berdoa "Bismillahirrahmanirrahim…Washollaallahu ‘alaa syaiyidina muhammadin wa’alaa aalihii washohbihii wasallam.Allahumma in kana rizqi fissama I faanzilhu. Wain kana fil ardhi (ض) faahrijhu. Wain kana filbahrifa adhli’qhu. (ط). Wain kana ba’edan faqorribhu. Wain kana qoriban fayassirhu. Wain kana qolilan fakassirhu. (ث). Wain kana kasiron (ث) fahauwinhu. Saba rikli fihi warzuqni min haisu (ث) ahtasibu. Samin haisu (ث) la ahtasibu. Rizqon halalan thoiyiban gh’odaqon (غ) sahhan thobaqon mubarakan fihi hattaa la yakuna liahadin min kholqika (خ) ‘alaiya fihi minnatan, Waj’al yadi ‘ulyan bil’iqtho ewalataj’al yadi suflan bil isth’iqtho e innika ‘alaa kulli syaien qodirun.
Surah Az-Zukhruf : Jika ditulis pada dinding rumah mereka yang berniaga, insya-allah banyak kelebihan dan keuntungannya.
Surah Al-Waqiah : Dibaca setiap hari 40 x / 44 x selama 40 / 44 hari berturut-turut, insya-allah kita diberi kemudahan rezeki dan mengelakkan kesulitan rezeki. Selepas itu cukuplah dibaca selepas sembahyang maghrib dan subuh 1 x setiap hari.
Surah Al-Balad : Dibaca selepas sembahyang sunat (sebelum melakukan sembahyang subuh) dengan tertib terus-menerus (kebiasaan harian) maka orang tersebut tidak akan mengalami kesempitan kewangan.
Surah Al-Falaq : Dibaca sebagai rutin harian maka orang tersebut akan dimudahkan jalan rezekinya.
Supaya banyak rezekinya :
"Walaqod makkannaakum filardhi waja’alna lakum fiha ma’ayisyaqolilan ma thaskurun".
Jika ayat ini ditulis (tulis dalam bahasa arab ya) dan dilekatkan pada pintu rumah atau kedai (tempat perniagaan), insya-allah membawa banyak manfaat dan rezeki.
Caranya dengan menulis pada hari Jumaat selepas kita menunaikan fardu Jumaat.
Nota : (minta orang yang pandai tulis arab tolong ajarkan).
Supaya barang / produk jualan kita laris / dibeli orang :
"Innallazinayatluna kitaballahi wa aqomussholata wa anfaqu mimma rozaqnaahum sirran wa’ala niyatan yarjuna tijarotan lan tabur. Liyuwaffiyahum ujurohum wayazidahum min fadhlihii innahuu gh’ofurunsyakurun".
Jika ayat ini ditulis di atas helaian kain sutera yang masih baru sebanyak 4 helaian dan dibawa untuk jualan, insya-allah barangan jualannya cepat laku. Ramai pembeli yang tertarik untuk membeli. Selain itu boleh juga diletakkan dalam barangan jualan kita (tempat dia berniaga). Tulisnya dalam bahasa arab ya :).
Buat kata orang ilmu yang sedikit itu jika diamalkan lebih baik dan berkat daripada banyak ilmu tapi langsung tidak kita amalkan. Paling utama di sini adalah kita tetap kena berusaha dan bekerja keras bukan hanya duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa. Yakinlah Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan membantu hamba-NYA yang yakin kepada Anugerah-NYA dan Pemberian-NYA. Jangan amalkan sesuatu itu sebab hendakkan sesuatu dan hendak cepat serta mudah. Kita kena sabar dan istiqomah, insya-allah kita pasti berjaya. Cuma cepat atau lambat sahaja yang kita tidak tahu. Jika Allah mengkehendaki segala pasti terjadi.
Salam keikhlasan dari insan fakir ini. Semoga berjumpa di langit kejayaan!.
Wassalam.
Ikhlas,
TokBatin…
Selasa, 29 Jun 2010
ILMU KEREZEKIAN
Telah terlalu lamaku rasa tidak dapat meluangkan masa untuk mencoretkan kata-kata di dada komputerku ini. Ini adalah kerana tuntutan tugasan, tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas dengan penuh amanah. Sejujurnya memang diriku telah berjanji untuk terus menulis setiap hari namun kekangan masa telah membataskan niat murniku tadi. Rasa bersalah dalam diri terus bersarang dan kadang-kala mencengkam erat dadaku hingga merimaskan akal fikirku. Ku pujuk hati dengan menyatakan, "Ini belum masa diizinkan Allah untuk aku terus menulis dan mencoretkan sesuatu". Sekurang-kurangnya ianya sedikit membantu meredakan gelojak jiwaku yang sering memberontak.
Setiap sesuatu itu pasti ada rahsia disebaliknya dan Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kita hanya merancang namun Tuhan menentukan segalanya. Gerak rasa dan ilham itu adalah datangnya dari Allah Yang Maha Esa, Maha Berilmu dan Maha Memberi Ilmu ke atas setiap makhluk yang dikehendaki oleh-NYA.
Hari ini atas sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim-NYA maka aku berdaya untuk berkongsi sedikit pengetahuan berkaitan "ILMU KEREZEKIAN". Sementelahan lagi ilmu ini pun aku dapatkan secara "PERCUMA" dan dengan Izin-NYA aku dibimbing untuk menyelusuri ilmu-NYA. Aku yakin ramai di luar sana yang telah pun memiliki pengetahuan dan ilmu tersebut namun tidak salah kiranya kita saling mengingati dan mengamalkannya secara istiqamah. Ianya mungkin sama dengan ilmu yang saudara miliki dan ini semua adalah bukti atas ilmu-NYA dan kebesaran-NYA jua. Jika ianya dapat memberi manfaat kepada saudaraku yang lain maka itu sudah cukup memberi rasa kesyukuran kepadaku. Cukuplah Allah dan Rasul-NYA untukku. Ilmu dunia bukan untuk dijual beli kerana ia adalah milik Allah dan hak Allah. Diriku tidak akan kesal berkongsi maklumat ini secara percuma dan memohon ampun dan maaf daripada saudaraku di luar sana yang mungkin "menjual" ilmu kerezekian untuk mencari rezeki yang halal untuk keperluan diri dan keluarga. Diriku tidak berniat untuk "menutup" pintu rezeki saudaraku yang dihormati. Ini adalah kerana pesanan guruku agar tidak menggunakan ilmu ini untuk kepentingan peribadi dan berjual beli. Pesannya lagi agar membantu orang dengan ikhlas, tanpa meminta-minta, Insya-Allah ilmu dan kehidupan kita akan lebih barokah.
Diriku memohon agar jika berlaku kesalahanku dalam berkongsi pengetahuan ini maka tegurlah secara hikmah mudah-mudahan Allah memberi segala kebaikan kepada anda semua. Ianya tidak akan mengurangkan rasa hormatku kepada anda semua. Aku sedar apalah dayaku sebagai manusia biasa yang sering terkhilaf dan berbuat dosa. Oleh itu dengan penuh perasaan merendah diri, aku merayu agar berilah teguran dan nasihat buat diriku yang serba kekurangan dan lemah ini agar dengannya kita semua akan diberkati oleh-NYA.
Ada pun "ILMU KEREZEKIAN" itu adalah seperti yang berikut dan diharap ianya dapat diamalkan dengan sebaiknya. Besarlah harapan saya agar dengannya nanti rezeki kita akan dilebarluaskan oleh Allah hendaknya dan bolehlah kita saling membantu dengan insan lain yang memerlukan akan ihsan daripada saudara semua. Ingatlah atas rezeki yang kita miliki ada rezeki untuk orang lain sama. Amalkan ia dengan ikhlas dan sabar. Jika tidak berjaya itu adalah ujian Allah ke atas kita hamba-NYA samada kita sabar atau tidak atas sedikit cubaan-NYA.
Saya dengan ikhlas hati, Bismillahirrahmanirrahim, wallahi, wabillahi, wataalallahi, lillahitaala mengijazahkan ilmu kerezekian ini khusus untuk saudara-saudaraku semua yang ingin mengamalkannya dengan sebenar-benar amal.
KEMUDAHAN JALAN REZEKI DARI SEMUA ARAH UNTUK ORANG YANG BETUL-BETUL SUSAH DAN AMAT MEMERLUKAN KEWANGAN :
Usaha ini adalah untuk mencari jalan rezeki yang lancar dan melimpahruah berlandaskan cara Islam. Ilmu ini tiada unsur menyekutukan Allah (Syirik). Lakukanlah usaha ini dengan penuh tawaduk dan ikhlas dan niatkan agar kita beroleh rezeki yang berkat dan dengannya dapat membantu menambahkan rezeki kita sekeluarga serta membantu mereka yang memerlukan.
Adapun cara melaksanakannya adalah seperti yang berikut :-
1. Usahakanlah oleh kita akan selama tempoh 40 / 44 hari, agar dapat kita lakukan kebaikan dengan membantu orang lain pada setiap hari walaupun ianya hanya kecil pada tanggapan kita seperti membuang batu atau menampal jalan yang berlubang agar mereka yang melalui jalan tersebut selamat. Membuang duri atau paku dijalanan agar orang ramai selamat dan pelbagai lagi cara yang menjurus kepada kebaikan.
2. Usahakanlah oleh kita akan selama tempoh 40 / 44 hari, agar dapatlah apa kiranya kita memberi sedekah jariah walau hanya sedikit makanan mahupun seteguk air kosong kepada mereka yang kelaparan / kehausan / yang memerlukannya. Sebaiknya jika boleh sedekahlah di masjid seperti makanan, buah-buahan ataupun minuman dan ini rasanya lebih mudah dan tidak diketahui oleh orang lain. Ini dapat mengelakkan kekeliruan / salah faham orang ramai dan menjauhi riak / sombong.
3. Usahakanlah oleh kita akan selama tempoh 40 / 44 hari, agar dapat kita sama sekali tidak menyakiti hati orang lain / tidak berdendam / tidak dikuasai amarah / dengki khianat dan cemburu. Seboleh mungkin hulurkan kemaafan anda kepada kedua orang tua, saudara mara dan orang lain serta lapangkanlah dada dengan memaafkan kesalahan orang lain kepada anda dengan ikhlas.
4. Usahakanlah oleh kita akan selama tempoh 40 / 44 hari, agar dapat tidak meninggalkan sembahyang fardu dan banyakkan sembahyang sunat seperti sunat hajat, sunat taubat, sunat tahajut, sunat duha. Perbanyakkan bacaan ayat suci Al-Quran seperti surah Al-Fatihah, Al-Waqiah, Al-Balad, Al-Insyirah dan lebih afdhal jika dapat khatam seluruhnya. Berzikir dengan Asma Ul-Husna seperti Al-Wadud, Al-Razaq dan lebih afdhal semuanya. Banyakkanlah selawat ke atas Nabi S.A.W (ikut yang anda tahu). Lebih baik jika dapat mengunjungi majlis ilmu dan alim ulama agar beroleh keberkatan. Jangan lupa berdoa kepada Allah agar dilimpahruahkan rezeki kita untuk mengeluarkan kita dari kemiskinan dan dapat membantu mereka yang memerlukan.
5. Usahakanlah oleh kita agar memulakannya pada hari Rabu atau hari Ahad. Ada sesetengahnya yang melakukannya mengikut hari mereka dilahirkan ke dunia ini disertakan dengan puasa sunat dan ini lebih baik bagi kita.
6. Usahakanlah oleh kita sebelum melakukan ilmu ini agar memohon doa restu dan keredhaan daripada ibubapa dan guru-guru mengaji kita. Jika telah meninggal dunia ziarahilah kubur mereka dan sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat roh mereka.
7. Usahakanlah oleh kita akan selama tempoh 40 / 44 hari, dapatlah kiranya kita melakukan sembahyang sunat hajat khusus untuk memohon rezeki-NYA dengan rezeki yang berkat pada jam 12.00 pagi – 3.00 pagi (2/3 malam). Usahakan agar tiada yang mengetahui akan amalan kita itu tadi dan pastikan tempat kita beribadah dan pakaian kita itu bersih dan suci. Lapangkan fikiran dan tenang. Bersih daripada hadas besar dan kecil.
Niat : "Sahaja aku sembahyang sunat hajat khusus kerana Allah Taala".
Rakaat Pertama :
Al-Fatihah dan Al-Ikhlas 11x.
Rakaat Ke Dua :
Al-Fatihah dan Al-Ikhlas 21x
Zikirlah : Al Razaq = 1,000 x dan Al Wadud = 1,000 x
Sesudah itu kita hendaklah berdoa dan doa ini dibaca sebanyak 41 x :
Bismillahirrohmaanirrohiim
Allahumma sholli wasalim wabarik ‘ala sayyidina Muhammad.
Yaa Allahu yaa fattahu yaa rozzaqu yaa mu’thiyyu
Yaa mu’iinu yaa waduudu yaa mujiibu ikfinii yaa kaafii
Yaa huu shifatullaah yaa huu dzatullah yaa huu af’alullah
Yaa huu wujudullah yassirli rezeki
Guruku telah berpesan oleh kerana ini merupakan warisan para wali Allah maka hendaklah kita membaca suratul Fatihah sebelum kita berdoa :
1. Bismillahirrohmaanirrohiim : Ilaa hadroti Rasulillahi Muhammad SAW
2. Waila hadroti Malaikati Jibril, Isrofil-Izroil, Munkar, nakir, roqib , Atid, Malik, Ridwan.
3. Waila hadroti Sulthonil Auliya’ Syeikh Abdul Qadir Al Jailani
4. Khususon asaatiidzi wa-asaatidzihim ilaa shohibil- ijaazah waabii waummi wajami’e ushuli.
5. Khususon Wali Songo
Bacalah : Al-Fatihah = 7x.
Selepas itu baru membaca doa seperti di atas.
Banyak sekali kelebihan jika kita mengamalkan ilmu ini selain untuk keberkatan rezeki, ianya juga untuk kesihatan dan keberkatan hidup dan umur kita. Selepas 40 / 44 hari, hendaklah tetap mengamalkan bacaan doa di atas setiap selepas kita solat fardu dan jika kita sibuk hendaklah dibaca selepas sembahyang maghrib dan subuh.
Semoga ilmu ini dapat memberi manfaat kepada kita semua dan mendapat keberkatan akan rezeki yang kita usahakan. Andainya ada kesalahan dan kesilapan dalam menerangkan pelaksaan ilmu ini maka itu adalah daripada kelemahan dan kebodohan diri saya sendiri. Jika ada kebaikan dan manfaat itu semua adalah dari Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Agung, Maha Mengetahui, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Ikhlas,
Tok Batin
Nota : Ustaz bukan bomoh pun bukan apa lagi dukun atau pawang. Aku juga bukanlah perawat tradisional hanya insan fakir yang tak punya apa-apa. Kita hanya berusaha Allah yang menentukan segala-galanya.
Khamis, 20 Mei 2010
ILMU PERUBATAN - MAHABBAH DIRI
Pagi ini saya agak bergelut dengan masa untuk menyiapkan kertas kerja yang perlu dihantar kepada MARDI, Melaka. Banyak yang perlu diperbaiki agar menepati kehendak dan keperluan mereka. Kamera pula asyik buat hal terpaksa ditangguhkan ke minggu hadapan untuk mengambil gambar.
Walau apapun diketerbatasan masa yang ada, saya curi juga masa untuk cuba menulis. Sebenarnya secara jujurnya daya ilham ini sudah agak bercelaru dek kerana tuntutan tugasan, minat dan perjuangan. Saya tetap bersyukur kepada Allah kerana tetap mengizinkan saya untuk terus berjuang dilandasan yang diminati walaupun hakikatnya saya tidak pandai dalam hal ehwal menulis. Sekadar menaip apa sahaja yang terlintas difikiran. Ini yang selalu saya buat sebenarnya. Hanya mengikut apa yang kotak fikiran ini berikan.
Saya cuba juga menulis untuk hari ini kerana jadual saya amat padat di hari esok dan ahad ini. Saya perlu pulang ke kampung untuk menjengok anak isteri yang lama tidak bersua dan ke dua-dua ibu saya. Lantaran tuntutan amanah maka saya rela korbankan diri untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Bukankah kerja itu satu ibadah?. Saya lakukan ini demi keluarga yang tercinta juga. Semoga dengan ini akan memberi kebaikan kepada semua, Insya-Allah.
Jika sebelum ini saya telah berkongsi berkaitan hal keselamatan, kelapangan dan rezeki maka hari ini saya turut ingin memberikan ilmu berkaitan "mahabbah" diri kita. Saya amat yakin sebahagian atau semua dari kita tahu tentang "ayat-ayat" atau "Mentera" untuk membangkitkan "mahabbah" diri kita.
Di antara yang biasa kita gunakan adalah ayat Al-Quran dalam surah Yusof.
Saya berikan beberapa ayat yang boleh dijadikan amalan untuk membangkitkan "MAHABBAH" diri kita, Insya-Allah.
Mahabbah Nabi Yusuf :
"Idz Qhola Yusufu Li Abihi Ya Abati Inni Roaitu Ahada Asyaro Kaukabaw Was Syamsa Wal Qhomaro Roaituhum Lii Sajidin" . (QS Yusuf : 12:A4)
Ertinya :
"Ingatlah ketika Yusuf berkata kepada ayahnya,"Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas buah bintang, matahari dan bulan kelihatan semuanya sujud kepadaku........."
Kemudian disambung dengan Al-Quran Ta-Ha (QS Ta-Ha : 20:A39)
"Wa Alqhoitu 'Alaika Mahabbatan Minni Walitushna 'Alaa 'Aini".
Ertinya :
"Dan Aku Telah Melimpahkan Kepadamu Kasih Sayang Yang Datang DariKu Dan Supaya Kamu Diasuh Di Bawah PengawasanKu".
Bacalah kedua-dua ayat di atas setiap selepas sembahyang sebanyak 3x. Jika terlalu sibuk cubalah baca di waktu Subuh dan Maghrib (7x). Boleh juga jika kita jadikan amalan seharian di mana sahaja kita berada.
Jika kita suka boleh juga kita baca ayat di bawah :-
Bismillahirrahmanirrahim....
bada'tu bibismillaahi ruuhii bihih tadat
Ilaa kasyfi asraari bibaathinihin thawat.
Cara lakukan cukup dengan :-
1. Setelah habis solat Isyak maka kita baca sebanyak 33x.
2. Kita boleh jadikan sebagai zikir setiap habis sembahyang fardu dengan dibaca 7x dan tidak boleh putus hingga genap 7 hari. Jika terputus oleh sebab yang tidak dapat dielakkan maka kita perlu ulang semula daripada mula.
3. Selepas dari itu bolehlah dibaca ikut kemampuan kita setiap kali lepas sembahyang.
Atau jika kita tiada masa bolehlah dibaca doa di bawah ini :-
1. Baca Al-Fatihah - 7x (sedekah kepada Nabi Muhammad S.A.W, Keluarga Baginda, Para Nabi, Para Malaikat, Muqorrabin, Para Sahabat Nabi, Para Wali, Para Ulama dan Ibubapa kita serta seluruh muslimin dan muslimat.
2. Salawat Nabi (10x)
Terus berdoa :-
Bismillahirrahmanirrahim...
Kaf Haa Yaa 'Ain Shood (Dibaca sebanyak 25 kali).
Allahumma bikaafi kifaayatika ikhfinii syarro nafsi wal kholqi ajma'in.
Wa biha'i hidayatika ihdini wahdi lil kholqo ajma'in.
Wa biya'i yumnika yamminni wa yammin liyal kholqo ajma'in.
Wa bi'aini 'inayatika a'inni wa shakhir lii ma'unatal kholqi ajma'in.
Wa bishodi shulhika ashlihni wa ashlih liyal kholqo ajma'in.
Bihaqqi fa'syailun syalukhiyya asylikhutho syakhutho ya syaikh.
Thoithowal shakhir liyal jinna wal insa.
Ya man yaqulu lisyai'in kun fayaakun.
Kawwin Kaf, Haa, Yaa, 'Ain, Shood bisirri.
(Terus Baca ) La Ila Haillallah (3x) dan sambung dengan......
Wa shollallahu 'ala sayyidinaa muhammadin wa ala alihi wa shohbihii wa
sallam.
Walhamdullillahi robbil 'alamin.
Saya suka menasihati diri saya dan teman-teman agar merujuk dengan mereka yang bijak dalam hal ehwal keagamaan agar apa yang ditulis di sini tepat sebutannya dan caranya. Saya sebagai manusia biasa tentu tidak lari daripada membuat khilaf.
Salam Perjuangan. Jumpa Anda Di Langit Kejayaan!.
Rabu, 19 Mei 2010
ILMU PERUBATAN - REZEKI
Hari ini adalah hari yang amat memenatkan. Jadual agak padat namun masih sempat mencuri masa untuk terus menulis. Syukur Alhamdulillah kerana Allah masih mengizinkan dengan memberi sedikit ilham untuk saya terus menulis.
Walaupun kita seringkali berusaha untuk menambah rezeki dengan cara melakukan berbagai usaha, ikhtiar, cara, strategi, proses percambahan dan penambahan ilmu namun adakalanya rezeki itu masih tidak mahu datang kepada kita. Hampir pun tidak, sipi-sipi pun tidak, singgah pun tidak dan menjengok pun tidak. Kita sering kali begitu cemburu dengan orang lain. Pandai pun tidak, Cerdik pun tidak, Usaha kuat pun tidak dan Rajin pun tidak namun yang pelik bin ajaibnya dia lebih berjaya, lebih kaya dan lebih senang daripada kita yang bekerja "Setengah Nak Mati" untuk mencari rezeki. Walhal kita tak kalah dari serba-serbinya. Kawan kita pula orang biasa dan dengan usaha yang biasa-biasa namun lebih berjaya daripada kita.
Sebenarnya kadang kala kita tidak perlukan bergulung-gulung sijil atau ijazah dan usaha yang kuat untuk mendapatkan kejayaan dan kekayaan. Kita hanya perlu bijak merebut ruang dan peluang. Ruang masa yang ada digunakan dengan sebaiknya. Kita kadang kala sibuk dengan kerja hingga melalaikanNYA. Penat berusaha hingga kita tidak dapat beribadah kepadaNYA. Pandai hingga kita melupakanNYA. Rajin mencari rezeki namun lupa kepada mereka yang ada bahagian ke atas rezeki yang kita miliki. Cerdik hingga kadang kala kita banyak menyalahgunakannya untuk kepentingan peribadi kita. Ibubapa kadang kala kita terlupa bertanya khabar dan menziarahi mereka. Di sinilah yang membezakan kenapa dan mengapa rezeki kita begitu jauh daripada kita walaupun hakikatnya ia amat dekat dengan kita sebenarnya. Kata kunci adalah "DOA" yang menjadi senjata orang mukmin.
Renungilah Hadis ini :-
"Allah S.W.T berfirman kepada malaikat yang diberikan tugasan atas urusan rezeki anak Adam:
"Hamba manapun yang kamu dapati yang cita-citanya hanya satu (iaitu semata-mata
untuk akhirat), pastikanlah rezekinya di langit dan di bumi. Dan hamba manapun yang
kamu dapati mencari rezekinya dengan jujur kerana berhati-hati mencari keadilan,
berilah dia rezeki yang baik dan mudahkanlah baginya. Dan jika ia telah melampaui
batas kepada selain itu, maka biarkanlah dia sendiri mengusahakan apa yang
dikehendakinya. Kemudian dia tidak akan mencapai lebih dari apa yang telah Aku
tetapkannya untuknya."
Hadis diriwayatkan oleh Abu Na'im dari Abu Hurairah r.a.
Pelajarilah dan Hayatilah apa yang terkandung di dalam ayat Al-Quran :-
1. Surah Al-Ankabut : Ayat 60 & 62
2. Surah Al-Fathir : Ayat 3
3. Surah Al-Mulk : Ayat 15
4. Surah Al-A'Raf : Ayat 10
5. Surah Al-Jumu'ah : Ayat 9 - 10
Dan sebenarnya banyak lagi ayat-ayat yang menerangkan perihal rezeki.
Kebiasaannya orang akan membaca ayat Al-Quran seperti di bawah untuk memurahkan rezeki. Sukalah saya mengingatkan diri saya dan kawan-kawan agar sentiasa mengamalkan ayat-ayat Al-Quran untuk kemudahan jalan rezeki untuk kita dan keluarga. Bacaan ayat Al Quran juga dapat menjadi benteng dalam kehidupan seharian kita dan memberi ketenangan.
1. Surah Al-Waqiah
2. Surah Al-Kahfi
Saya berdoa kepada Allah atas sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNYA agar kita semua akan dilimpah ruahkan rezeki dengan sebanyak-banyaknya. Amin.
Salam Perjuangan. Jumpa Anda Di Langit Kejayaan!.
ILMU PERUBATAN - KESELAMATAN, KELAPANGAN & KESENANGAN
Hari ini nampak gayanya rajin betul untuk saya menaip papan kekunci laptop ni. Kerja banyak sebenarnya. Temujanji dengan orang pun banyak juga namun entah kenapa dan mengapa tangan ni seperti digerak-gerakkan untuk terus menaip dan menterjemah idea dan ilmu yang diilhamkan oleh Allah. Perjuangan untuk terus menaip dan menulis pun bermula.
Hari ini saya telah diberikan oleh Allah kekuatan ilmu dan idea yang dipinjamkan kepada saya untuk sementara waktu ini untuk dikongsikan bersama-sama dengan mereka yang memerlukan. Mungkin ilmu ini tidak diperlukan oleh semua orang pada waktu ini akan tetapi mungkin juga ianya berguna untuk masa yang akan datang. Siapa saya untuk cuba mentafsirkan apa yang difikirkan oleh orang lain kerana saya bukanlah ahli nujum seperti nujum pak belalang :). Saya hanya insan kerdil lagi fakir yang tidak punya kuasa atas suatu apapun untuk memberi ilmu kerana saya bukan ahlinya. Saya tahu sebenarnya ramai yang lebih bijaksana di luar sana dan ada di antaranya yang sudah biasa dengan ayat ini, sudah mengamalkannya dan mengetahui kelebihan ayat Al-Quran ini. Matlamat utama saya adalah untuk kita berkongsi ilmu, idea dan terus memperjuangkannya untuk kebaikan semua orang, jika ianya baik untuk satu-satu orang itu. Ianya juga bukan bermakna saya pandai atau tahu cuma sekadar mencuba apa yang telah diilhamkan oleh Allah semoga mendapat manfaatnya apabila ada yang mengamalkannya, Insya-Allah. Semua kebaikan adalah milik Allah, Dialah Maha Penyembuh dan Maha Membantu bagi mereka yang dikehendakiNYA. Kita sebagai manusia tidak punya apa-apa sebenarnya, hanya sekadar meminjam sedikit daripada apa yang telah dikurniakan olehNYA.
Kelebihan Surah At Taubah : Ayat 128 - 129
Laqod jaa-akum rosulum min anfusikum `aziizun `alaihi
ma `anittum hariishun `alaikum bil mu`miniina ro-ufur rohiim.
Fa inta wallaw faqul hasbiyallohu laa ilaha illa huwa `alaihi tawakkaltu
wahuwa robbul `arsyil `azhiim
Ertinya :
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, terasa berat
baginya lagi sangat mengharapkan kebaikan bagi kamu, sangat penyantun dan penyayang
kepada orang-orang mukmin. Maka jika mereka berpaling maka katakanlah: "Cukuplah
Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal, dan Dia
adalah Tuhan yang memilik 'Arsy Yang Agung."
(Nota : Untuk kepastian tolong rujuk Al-Quran kerana dikhuatiri salah ejaan atau sebutan apabila ditulis dalam Bahasa Malaysia. Kalau salah baca takut nanti maknanya tidak tepat. Elok dapatkan nasihat atau rujuk dengan guru yang muktabar/ustaz/imam).
Di antara kelebihannya adalah seperti berikut :-
1. Membantu untuk mengubah nasib diri kita agar sentiasa baik dan terhindar daripada sebarang keburukan/kelalaian.
2. Kita dikasihi dan dimuliakan oleh orang ramai.
3. Dikatakan tidak akan mati pada hari seseorang itu mengamalkan bacaan ayat Al-Quran ini, kecuali di atas kehendak Allah kita dilalaikan atau dilupakan untuk mengamalkannya pada hari tersebut.
4. Selamat dari senjata tajam dan peluru (kebal / kekuatan) jika diamalkan pada hari tersebut dengan izin dan kehendak Allah.
5. Boleh digunakan sebagai zikir atau salawat yang berdasarkan ayat Al-Quran.
6. Jika kita susah kita akan diberi kelapangan/kesenangan oleh Allah. (Rezeki, Hutang, Kemenangan).
Ingin saya tegaskan di sini, ini hanyalah pandangan atau ulasan peribadi saya dan hanya diketahui mengikut ruang lingkup dan ilmu yang terhad di mana dapat dipelajari oleh saya. Mungkin ulasan saya berkaitan dengan kelebihan ayat Al-Quran ini tidak tepat atau tidak benar. Oleh itu sukalah saya menasihati agar dapatkan pandangan daripada mereka yang lebih arif. Inilah yang sebaik-baiknya agar kita tidak menyimpang dari ajaran yang sebenarnya. Mungkin banyak lagi rahsia Allah yang terkandung di dalam ayat Al-Quran ini yang masih belum dapat dibongkar. Saya dengan perasaan rendah diri merayu kepada yang mempunyai kepakaran dalam menterjemahkan ayat Al-Quran ini dan kelebihannya agar dapat apalah kiranya memberi tunjuk ajar, bimbingan dan sudi berkongsi ilmu tersebut bersama-sama dengan saya dan orang lain. Semoga kita bersama-sama mendapat manfaatnya, Insya-Allah.
Salam Perjuangan. Jumpa Anda Di Langit Kejayaan!
ILMU, IDEA DAN PERJUANGAN
Ilmu sebenarnya mempunyai pelbagai cabang dan disiplin. Tanpa ilmu bagaimana kita ingin "menjelmakan" idea itu menjadi realiti. Idea yang bagus tanpa ilmu yang bagus akan "mati" begitu sahaja. Adanya ilmu walaupun idea itu bodoh dan gila pasti akan "hidup" dan kita boleh menukarkannya menjadi kepuasan dan kebanggaan yang mendalam terhadap diri kita.
Sedari azali lagi kita telah diberi ilmu oleh Allah. Ilmu untuk kita terus hidup dan berjuang di dunia yang sementara ini. Ilmu yang bakal "membimbing" dan "memandu" kita untuk berjaya atau gagal "di sini" dan "di sana".
Ilmu itu telah kita praktikkan ketika kita berjuang untuk tinggal diam di rahim ibunda kita. Selepas itu kita turut sama berjuang dan bergantung harap kepada kekuatan ilmu ibunda kita dan doktor, jururawat atau bidan untuk kita melihat dunia. Selepas itu kita diberi ilmu untuk menangis atau tidak menangis oleh Allah yang menandakan kesyukuran kita lahir di dunia ini dan akan meneruskan kehidupan yang penuh onak duri, ranjau liku, susah senang dan suka duka. Berjaya atau gagalnya kita adalah dengan adanya ilmu, idea dan perjuangan kita. Setelah itu cabang ilmu kita terus meningkat dengan mula belajar mengiring, mengesot, merangkak, berjalan jatuh, berjalan dan berlari. Kita mula belajar berkata-kata dengan bahasa tangisan, bahasa senyuman, bahasa gelak dan tawa, bahasa kata. Semua inilah asas-asas ilmu yang diberi dan dididik sedari kita azali, alam rahim dan alam kanak-kanak. Setelah menginjak usia kita mula belajar ilmu pelajaran yang formal mengenal abjad dan huruf seterusnya perjuangan ilmu itu terus melebar dan meluas sehingga kita berada di garisan yang terakhir. Corak perjuangan dan susur galur ilmu ini telah diletakkan asas yang kukuh oleh Allah kepada kita.
Kadang-kala setelah ilmu rasa banyak di dada kita lupa pada Yang Maha Berilmu dan Maha Memberi Idea. Kadang-kala atau "banyak kala", saya sering terlupa akan hakikat ini. Ilmu yang ada digunakan bukan untuk tujuan yang sebetulnya dan sepatutnya. Jalan yang dipilih itu penuh sia dan dosa. Kesal! Ya, memang kesal itupun setelah kita terima "Habuannya" dan "Balasannya" pada ketika dan saat itu. Bila adanya ilmu dan idea yang baru perjuangan kita telah mula lari dari aturan dan landasan yang kita telah mula rintis ketika kita terima habuan dan balasan tadi. Senang katanya apabila kita ditimpa musibah kita akan ingat padaNYA dan bila senang kita tiba-tiba telah lupa akan apa yang kita telah terima sebelumnya.
Oleh itu, saya sentiasa ingat satu pesanan "Sampaikan ilmu walaupun sepotong ayat".
Mungkin tulisan saya ini bukanlah apa yang dimaksudkan tapi diharap ianya menjadi satu alat untuk melonjakkan diri saya ke arah menuruti pesanan tersebut, Insya-Allah.
Selagi terdaya dan diberikan petunjuk serta hidayahNYA, saya akan cuba untuk terus mencari idea, menambahkan ilmu dan berjuang untuk menyebarkannya. Mungkin bukan dengan cara menerbitkan buku-buku tapi cukuplah sekadar satu coretan oleh insan fakir ini. Diharap dengan ini akan terus berkembanglah ilmu dan idea yang Allah berikan dan terus diperjuangkan dan diperpanjangkan oleh insan yang lain.
Sebenarnya ilmu yang kita kutip hari ini adalah apa yang telah kita letakkan batu asasnya ketika kita kecil dahulu. Jika kita perhati dengan "mata batin" dan ikhlas kita akan menjumpai ilmu itu seluruhnya di alam ini. Tidak perlu kajian ilmiah dan tidak perlu perbahasan panjang. Hanya yang perlu kita renung, kita teliti dan kita muhasabah diri dan kita akan bertemu jawapannya.
Salam Perjuangan. Jumpa kita dilangit kejayaan!
Isnin, 17 Mei 2010
KURSUS INNOVATIVE CREATIVE CYCLE ANJURAN MPC
Selepas habis berbincang dengan Pegawai MARDI, saya terus bergegas untuk ke Hotel Ancasa MITC. Jam telah menunjukkan angka 12:00 hrs. Adui! Nie dah kes naya ni. Mesti dia orang dah mula sesi pagi dan saya baru nak gerak. Nasiblah nak buat macam mana. Sampai di Hotel Ancasa MITC tepat jam 12:15 hrs jadi saya pun terus cari bilik tempat kursus tu kat mana. Kena pula masa itu banyak juga organisasi yang buat kursus di sini.
Saya akhirnya dapat juga mencari tempat itu. Ketuk saja pintu bilik ingatkan ramai pesertanya tapi rupa-rupanya hanya 8 orang sahaja. Sedih juga rasanya sebab tidak berapa ramai.
Penceramah nak bagi ceramah pun macam takda "Mood". Kalau saya pun macam itu juga yelah 8 orang!!
Saya difahamkan yang kebanyakan syarikat telah diberi peruntukan untuk menghadiri kursus ini secara "PERCUMA". Hanya sebahagian sahaja yang perlu membayarnya dengan kadar bayaran RM500.00. Saya terfikir adakah ini mentaliti "Orang Kita". Diberi "PERCUMA" pun tak datang kalau berbayar lagilah tak datang!. Saya rasa kursus ni penting untuk sesebuah organisasi untuk menambahkan kecekapan warga kerjanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan "KUALITI". Kita selalu beranggapan yang kualiti itu amat penting tetapi kita sendiri apabila diberi peluang untuk menambahkan ilmu tidak mengambilnya secara yang terbaik.
Kualiti dapat memberi nilai tambah bukan sahaja kepada kita, organisasi kita akan tetapi kepada masyarakat seluruhnya dan negara amnya. Produktiviti akan meningkat, kecekapan akan meningkat, kos dapat diturunkan, masa beroperasi dikurangkan dan keuntungan dapat ditingkatkan. Siapa yang akhirnya dapat kebaikan bukankah kita semua akan dapat merasai nikmatnya.
Moralnya di sini adalah tambahlah ilmu walau apa jenis ilmu tersebut lebih-lebih apabila diberi secara percuma. Kalau perlu dibayar untuk mendapatkan ilmu berilah sedikit peruntukan untuk berbuat sedemikian. Ilmu adalah satu pelaburan yang amat menguntungkan!. Ilmu akan memberi kita kejayaan dan kekayaan!.
Selamat menambah ilmu agar kita lebih berilmu. Jumpa kita dilangit kejayaan!
TOK BATIN.