Isnin, 19 Julai 2010

PUISI : KELIHATAN OLEHKU AKAN SEORANG TUA

KELIHATAN OLEHKU AKAN SEORANG TUA (REZEKINYA PADA SAMPAH)

Kelihatan olehku akan seorang tua
Terbongkok menyelongkar timbunan sampah itu
Tangannya cukup pantas mencapai dan memilih
Apa yang boleh apa yang tidak
Tanpa memikirkan orang disekelilingnya
Tanpa menghiraukan orang disekelilingnya
Tanpa memperdulikan kata orang padanya

Kelihatan olehku akan seorang tua
Diherdik oleh orang yang berpangkat lagaknya
Dihina oleh orang yang melihatnya
Dihalau oleh penjaga tempat itu kononnya
Namun dia membalas dengan senyuman
Beredar dan terus menyelusuri tempat itu
Jika ada rezeki untuk di bawa pulang

Kelihatan olehku akan seorang tua
Bersemangat tanpa perlu meminta
Mengharap belas dan simpati
Padanya selagi ada daya
Dia akan setia dengan tugasnya
Mencari sesuap nasi
Buat anak dan isteri yang setia menanti

Kelihatan olehku akan seorang tua
Gigih berusaha walau dimamah usia
Tidak kenal erti putus asa
Demi rezeki yang halal dicarinya
Bukan dengan cara mudah mendapatkannya
Paling utama perut perlu diisi
Tidak perlu mengemis mengharap simpati

Kelihatan olehku akan seorang tua
Menjadi contoh sikap mulia
Walau hidupnya penuh derita
Dia takut pada Penciptanya
Tidak sesekali mencari rezeki mudah
Mencuri meragut menyamun menipu
Menerima rasuah untuk hidup mewah

Kelihatan olehku akan seorang tua
Hidupnya tenang dan gembira
Biar hidup diulit kesukaran sentiasa
Namun tiada apa yang difikirkannya
Tiada beban hutang yang dikendong
Nasibnya lebih baik dari orang lain
Nampak kaya namun jiwanya sengsara

HASIL NUKILAN
TOKBATIN
TAMAN KRUBONG UTAMA,MELAKA
10 JULAI 2010 : 00:57 AM

PUISI : ISTERIKU SAYANG

ISTERIKU SAYANG

Isteriku sayang …
Izinkan aku kali terakhir ini
Menyusun sepuluh jari jemari
Mengungkap makna manusiawi
Menyingkap maksud benar kemaafan hakiki

Isteriku sayang …
Aku sedar biar jasad meninggal pergi
Tak mungkin bisaku tukar harga diri
Jika nyawaku sebagai ganti
Aku terima dengan rela hati

Isteriku sayang …
Selagi badan dikandung usia
Aku tetap menanti penuh setia
Kasihmu tidak akan kupersia
Biar ku tebus semua dosa dan noda

Isteriku Sayang …
Biar kesal menghambat diri
Biar sedih mencengkam nurani
Biar derita melilit sanubari
Jawapan dicari tak bisa kutemui

Isteriku sayang …
Biar berat diasak persoalan
Khianat manusia hanya mainan
Tak sekali ku kesalkan
Mencintaimu satu penghormatan

Isteriku sayang …
Pengalaman kulalui satu perjalanan
Kukutip semua jadi pengajaran
Entah bila sampai kepengakhiran
Mungkin saat rohku menemui Tuhan

Hasil Nukilan,

Suamimu nan fakir
Tmn. Krubong Utama, Melaka
12hb Julai 2010 : 22:59 Hrs

- Harapan yang sedikit membawa seribu sinaran bintang daripada tidak berani
menggantungkan satu harapan pada mentari.
- Perkara lama jadi pengalaman, jangan jadikan ia sebagai beban.
- Ketawa dan menangislah selagi ada air mata.
- Penyesalan adalah permulaan kebaikan hakiki dan sejati.

KURSUS MOTIVATOR TARIKH LAHIR

Alhamdulillah...syukur kepada Allah Yang Maha Besar kerana membenarkan diriku untuk mengecapi setitis pengetahuan daripada Maha Luasnya ilmu-MU Ya Allah. Akhirnya pada 17hb dan 18hb Julai 2010, Sabtu dan Ahad, saya berjaya menghadiri dan menamatkan kursus sebagai seorang "motivator" tarikh lahir. Setelah lama dikekang oleh waktu maka dikesempatan yang ada saya telah memanfaatkannya dengan sebaik mungkin untuk mencari setitik kejayaan.

Terima kasih sahabatku En. Ab Rahim di atas segala tunjukajar, bimbingan, latihan, perkongsian pengetahuan dan ilmu dengan saya. Sesungguhnya hanya Allah jua yang mampu membalasnya. Terima kasih jua kerana membenarkan dan mengizinkan untuk saya mengamalkan ilmu tersebut yang sungguh bernilai bagi saya. Saya berjanji akan terus mendalami lagi ilmu tersebut dan menyebarkannya demi kebaikan kita dan orang lain.

Saya akan mengikut nasihat sahabat untuk mempraktikkan ilmu tersebut dan berusaha untuk membantu orang lain serta dalam masa yang sama kita akan memperolehi rezeki (sumber pendapatan) dari bidang tersebut. Saya berjanji bermula pada hari ini saya akan mula mengorak langkah dan terus melangkah ke arah itu dengan jayanya, Insya-Allah. Doakan agar usaha ini diredhai dan dirahmati oleh Allah hendaknya.

Salam ukhuwah....Jumpa Anda Di Langit Kejayaan!.

Rabu, 30 Jun 2010

KURSUS TARIKH LAHIR

Salam kasih sayangku buat semua....

Pada hujung minggu yang lalu aku telah diminta oleh temanku untuk menghadiri "kursus" tarikh lahir di rumahnya.

Oleh kerana dalam waktu yang sama aku terpaksa pulang ke kampung di Banting, Selangor untuk menjenguk isteri dan anak-anakku yang telah lama tidak ku temui dek kerna kekangan masa maka aku terpaksa menjelaskan dengan lembut untuk "menolak" pelawaannya untuk menghadiri "kursus" tersebut. Sekurang-kurangnya untuk waktu itu bukan pada waktu yang lain di mana aku telah berjanji akan menghadirinya.

Aku sebenarnya amat bertuah jika orang lain terpaksa menghadiri kursus tarikh lahir di hotel atau dewan, aku hanya perlu ke rumahnya atau mungkin boleh di kedai kopi sambil menonton perlawanan piala dunia yang sedang rancak berlangsung sekarang ini ...hehehe.

Ini adalah merupakan satu kursus lengkap untuk menjadi seorang "motivator" khusus dalam bidang tarikh lahir. Memang diakui walaupun teman tapi bayaran tetap kita kena bayar kerana pemberian khidmatnya dan ilmu pengetahuannya kepada kita. Beliau dulu pun semasa nak dapatkan ilmu tersebut terpaksa mengeluarkan banyak biayanya. Aku pun tak kisah akan hal tersebut sementelahan lagi aku juga amat berminat dengan ilmu pengetahuan itu sedari dulu sebenarnya. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, sedaplah tidurnya.

Aku akan pastikan hasrat itu menjadi kenyataan dan aku akan cuba "mencuri" masa untuk berjumpa dengan beliau dan mempelajari ilmu tersebut. Jika ilmu itu bukan untuk orang lain cukuplah untuk diri sendiri dan keluarga sekurang-kurangnya.

Bulan ini aku amat sibuk dengan amanah dan tugasan bermula daripada MARDI, UniKL, MARA, JABATAN PERTANIAN sehinggalah ke Radio Melakafm, Sinarfm dan suratkhabar. Memang penat tetapi inilah tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.

Inilah yang dinamakan juru perunding yang tak bertauliah sibuk ke sana dan sini bekerja sambil belajar sesuatu yang baru dari mereka yang tahu. Untuk senang memang senang dan untuk susah memang susah dan ianya berkaitrapat dengan usaha, minat, kesungguhan dan paling penting kena tebalkan muka dan pekakkan telinga.

Paling utama adalah selagi kita hidup teruslah kita menggali lautan ilmu samada ilmu dunia atau ilmu akhirat, ilmu putih atau ilmu hitam bukan untuk kita menganiaya orang tapi dapat membantu orang lain yang teraniaya. Janganlah kita terlalu rigid sehingga tidak boleh mempelajari ilmu bangsa lain dan agama lain yang paling penting nawaitu kita belajar untuk apa dan tidak terpesong dari akidah kita yang sebenarnya.

Salam kemaafan. Semoga berjumpa anda di langit kejayaan!.

Ikhlas,
TokBatin

SAJAK : APA NANTI JAWABKU?

SAJAK : APA NANTI JAWABKU?

Jika hari ini
Aku dijemput olehNYa
Adakah aku telah bersedia
Jika malaikat bertanya

Marabbuka…
Siapa Tuhanmu
Marabbuka…
Siapa Nabimu
Marabbuka…
Apa kitabmu
Marabbuka…
Siapa saudaramu
Marabbuka…
Apa agamamu
Marabbuka…
Mana kiblatmu

Apa nanti jawabku…
Bagaimana nanti jawabku
Jika lidahku tidak pernah
Jika hatiku tidak pernah
Jika fikiranku tidak pernah
Basah menyebut namaMU
Sujud menghadapMU
Dek hasutan duniawi
Ya Allah Ya Rabbi…

Apa nanti jawabku…
Bagaimana nanti jawabku
Jika lidahku tidak pernah
Jika hatiku tidak penah
Jika fikiranku tidak pernah
Mengucapkan salam buatmu
Melaksanakan setiap ajaranmu
Dek keseronokan duniawi
Ya Rasulullah …

Apa nanti jawabku…
Bagaimana nanti jawabku
Jika lidahku tidak pernah
Jika hatiku tidak penah
Jika fikiranku tidak pernah
Mengalunkan untaian kalamMU
Mempelajari setiap bait kalamMU
Dek kesengan duniawi
Ya Al-Quran Kalammullah…

Apa nanti jawabku…
Bagaimana nanti jawabku
Jika lidahku tidak pernah
Jika hatiku tidak penah
Jika fikiranku tidak pernah
Mengasihi setiap manusia
Mengasihani setiap manusia
Dek kesombongan duniawi
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Apa nanti jawabku…
Bagaimana nanti jawabku
Jika lidahku pernah
Jika hatiku penah
Jika fikiranku pernah
Menjual agamaMU untuk dunia
Meremehkan ajaran agamaMU
Dek mengejar harta duniawi
Ya Allah Ya Razaq Ya Wadud …

Apa nanti jawabku…
Bagaimana nanti jawabku
Jika lidahku tidak pernah
Jika hatiku tidak penah
Jika fikiranku tidak pernah
Menghadapkan mukaku kearahmu
Meluruskan diriku kearahmu
Dek tipu daya duniawi
Ya Kiblatku Kaabah Baitullahilharam …

Ingatlah…
Selagi nyawa masih terpelihara
Basahkan lidahmu dengan mengagungkanNYA
Mengucapkan salawat buat Junjungan Tercinta
Alunkan untaian kalamullah setiap masa
Kasihilah dan kasihanilah saudara kita
Usah menjual agamamu dan remehkannya
Hadapkan dengan lurus tubuhmu kearahNYA
Hidupmu pasti bahagia di akhirat sana

Nukilan Rasa,
TokBatin
BATU BERENDAM, MELAKA
29 JUN 2010 JAM 15:41 HRS

SAJAK : BUAT PALESTINE

SAJAK BUAT PALESTIN

Palestin jika kelmarin
Bumimu dibasahi darah para syuhada
Pejuang agama dan negara
Harumannya pasti semerbak mewangi
Memagari seluruh anak bangsamu
Memayungi ibu pertiwi tercinta

Palestin jika hari ini
Ramai anak bangsamu
Gugur di medan jihad
Jangan kau tangisi mereka
Kerna pasti kini mereka
Aman dan bahagia di alam sana

Palestin jika hari esok
Tanahmu masih dihujani peluru
Jangan gentar jangan ragu
Bangkitlah gagah melawan seteru
Menentang kezaliman Zionis Yahudi
Demi Allah Yang Satu

Palestin yakinlah pada harinya
Sampai saat sebenarnya
Perjuanganmu telah berjaya
Melenyapkan kejahatan zionis selamanya
Dari bumimu yang derita sengsara
Dalam perjuangan yang panjang warganya

Hasil Nukilan,
TokBatin,
Taman Krubong Utama, Melaka
19 Jun 2010
23:30 Hrs

BIDALAN MELAYU

BIDALAN MELAYU (UMUM)

Sifat pemarah jangan dibela kelak badan akan binasa.

Akal pendek jika diturut, maruah diri akan dilurut

Panjang tangan jangan diamal kelak masa depan mudah diramal

Nafsu syahwat jangan ditatang kelak musibah datang mengundang

Amal bakti perlu dijaga kelak hidup akan terpelihara

Harta akhirat perlu digali kelak selamat diakhirat nan hakiki

Sikap budiman mesti dipegang kelak kita akan disayang

Senyuman harus diukir dibibir barulah ramai datang menghampir

Bila kita berat tulang nanti orang tidak memandang

Bila kita berat tulang kelak rezeki tidak mendatang

Sesama bangsa usah curiga barulah Negara aman sejahtera

Sesama tetangga saling muafakat kelak hidup kita selamat dan berkat

Dendam amarah bermaharajalela kelak akal dan iman habis binasa

Al-Quran dan Hadis jadi amalan kelak syurga tempat kediaman

Sifat dermawan menjadi kawan pasti orang akan tertawan

Jika kerja jujur dan ikhlas nescaya Allah akan membalas

Amanah itu amatlah berat jika dijaga orang pasti memandang hormat

Jika kerja malas dan culas kesusahan pasti datang merampas

Andai kita rajin berusaha kekayaan pasti datang bersama

Jika iman tersemat kukuh di dada pasti rahmat Allah sentiasa ada


Bidalan Untuk Suami dan Isteri :

Jika isteri suka melaram kelak rumahtangga tidak tenteram

Andai isteri suka berleter nanti suami tidakkan hampir

Maruah suami jika dipelihara pasti hidupmu aman sentosa

Peribadi isteri cantik dihias pasti suami tidakkan culas

Kasih isteri jika ditatang pasti nanti anda disayang

Tanggungjawab kukuh dipelihara pasti rumahtangga kekal bahagia

Sifat curiga usah dimula kelak rumahtangga rosak binasa

Jika suami malas membantu kelak isterimu pergi berlalu

Andai suami ringan tulang, isteri pasti bertambah sayang

Suami itu tonggak keluarga jika roboh hancurlah segalanya

Rumahtangga jika muafakat kebahagiaan pasti datang mendekat

Rumahtangga bersendi iman pasti Allah memberi bimbingan

Keluarga syakinah perlu dicari barulah rumahtangga indah berseri

Jika masalah dikongsi bersama rumahtangga sentiasa terjaga

Dendam dan benci jangan disimpan kelak rumahtangga jadi taruhan

Jika taat pada suami pasti Allah akan mengasihi

Kata suami jangan dilawan pasti dirinya akan tertawan

Jika suami pandai mentadbir pasti isteri tidak berleter

Jika pandai mengambil hati pasti keluarga kekal abadi

Hasil Nukilan,
TokBatin
Melaka : 30hb Jun 2010 : 16:27 Hrs